Sewaktu kita membuat persembahan, kita mahu mesej kita dapat disampaikan kepada prospek dan pelanggan. Mereka adalah audiens kita. Jika mesej tidak sampai, amat sukar bagi kita mendapatkan kata sepakat dan persetujuan menjual atau menaja mereka. Saya kongsikan 10 rahsia sewaktu membuat persembahan jualan atau penajaan berdasarkan pengalaman sendiri :-
1. Kenal Audiens.
Kita mesti tahu siapa audiens kita. Periksa dan siasat latar belakang mereka. Audiens tidak sama antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Sebagai contoh, apabila kita sedang membuat persembahan kepada audiens yang berpendidikan tinggi, kita perlu memberikan persembahan secara profesional dan tinggi aras penerangan kita. Walau bagaimanapun, jangan tinggalkan tabiat memberikan kemudahan untuk mereka fahami. Namun, apabila kita sedang membuat persembahan jualan di felda atau kilang, kita harus turunkan aras kita. Apabila terlalu tinggi nanti kita hanya syok sendiri, sedangkan audiens langsung tidak faham.
2. Untuk Mereka.
Dalam penerangan kita, kena melibatkan apa yang boleh kita selesaikan untuk mereka, apa yang boleh kita berikan untuk mereka dan apakah keistimewaan yang kita hendak tunjukkan kepada mereka. Fokuskan kepada mereka dan bukannya diri kita. Penerangan yang memfokuskan mereka menyebabkan audiens merasa seolah-olah sedang melihat diri mereka sendiri.
3. Skill Yang Dilatih.
Kita perlu berlatih setiap hari. Buat latihan sehingga kita betul-betul rencam dengan cara mempengaruhi audiens. Semakin banyak kita membuat latihan, semakin berkualiti dan semakin meningkat kebolehan dan bakat kita. Setiap penerangan adalah pengalaman. Kita boleh gunakan untuk penerangan yang berikutnya pada audiens yang lain. Lama-kelamaan, kita memiliki pengalaman yang luas dan persembahan kita semakin menarik dan berkualiti.
4. Kuasai Audiens.
Belajar menguasai audiens. Kita yang berada di depan mereka, kita yang bertanggungjawab untuk membuatkan mereka sentiasa setia menonton persembahan kita. Gunakan kemahiran berkomunikasi dengan audiens. Jika ada tentangan, hadapi dengan tenang dan sabar. Jangan bertelagah dengan mereka. Sebaliknya, gunakan perkataan yang lembut dan beradab.
5. Tunjukkan.
Apabila kita menerangkan tentang produk, tunjukkan produk kita. Apabila kita sedang menerangkan pelan pemasaran, tunjukkan pelan pemasaran dengan menulis di kertas. Tunjukkan juga contoh-contoh orang yang pernah menggunakan produk kita. Testimoni amat berkesan bagi mempengaruhi audiens.
6. Dekati Audiens.
Cuba kita dekati audiens. Jadikan diri kita ramah dan seolah-olah sudah lama mengenali mereka. Pembeli tidak membeli dari orang yang tidak mereka kenali atau rapat. Walaupun kita baru berkenalan, jadikan seolah-olah kita adalah rakan mereka yang paling karib dan rapat.
7. Cerita.
Apabila mahukan prospek lebih berminat dengan persembahan kita, gunakan cerita. Pelanggan dan prospek tidak gemar fakta. Mereka membeli kerana emosi. Melalui cerita, kita boleh jangkitkan emosi kepada mereka. Sebagai contohnya, apabila kita menjual barangan kecantikan, gunakan cerita orang yang pernah cantik kerana menggunakan produk kita.
8. Buat Jenaka.
Jenaka amat penting untuk memberikan hiburan kepada prospek. Suasana yang serius tidak akan menarik perhatian mereka. Gelak ketawa dan jenaka yang menghiburkan menambahkan lagi rasa dekatnya mereka dengan kita. Apabila prospek ketawa kita sudah pun menguasai mereka.
9. Bertanya.
Tujuan kita bertanya sebenarnya bukan untuk menduga prospek. Namun, tujuan kita bertanya adalah untuk memberikan mereka respons kepada pertanyaan mereka dan kita sendiri yang berikan mereka jawapan daripada pertanyaan mereka. Contohnya "Tahukah kita, ada orang yang berpendapatan RM 100,000 sebulan?" Pertanyaan kita itu membuatkan prospek berfikir dan kita berikan segera jawapannya. "Sebenarnya memang wujud orang yang berpendapatan RM 100,00 sebulan."
10. Berikan Alasan.
Kita cari alasan, mengapa mereka perlu beli produk kita segera. Kita berikan alasan mengapa mereka perlu menyertai perniagaan MLM dan kita cari alasan mengapa mereka akan rugi jika tidak terlibat dalam MLM. Alasan yang kita berikan menyebabkan prospek berfikiran seperti kita dan coraknya juga seperti kita.