Wednesday, April 6, 2011

7 Bentuk Halangan Luaran Yang Menjadi Pencuri Impian Usahawan.


1. Bantahan.

Sewaktu kita hendak 'sign up' keputusan kita dibantah oleh ahli keluarga. Ada yang membantah dengan menunjukkan mimik muka, mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak kurang juga ada yang sanggup bermasam muka dengan kita. Mereka membantah dengan sekeras-kerasnya dan menganggap kita melakukan kesilapan yang besar apabila memilih untuk menceburi MLM.

Begitu juga sewaktu kita berjaya mendapat bonus yang lumayan, mereka tetap membantah kita dengan mengatakan bonus itu tidak kekal. Sama ada kita berjaya atau gagal kita tetap dibantah. Keadaan lebih ketara apabila pendapatan bonus kita melebihi pendapatan kerja kita.

Sebagai contoh, ada usahawan MLM yang mengambil langkah berhenti kerja kerana hendak menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan MLM. Apabila meminta pendapat pelbagai pihak hampir 100% membantah dan tidak bersetuju dengan keputusan kita. Namun, atas kebijaksanaan berfikir mereka meninggalkan kerjaya mereka dan menumpukan 100% bagi membina kumpulan yang kukuh. Akhirnya pendapatan mereka melebihi 10 tahun bekerja. Apabila bergelar usahawan MLM, kita sahaja yang tahu apakah kelebihan dan kehebatannya.

Oleh itu, elakkan diri kita dikuasai oleh bantahan dan pandangan negatif daripada orang sekeliling kita. Namun, jika pendapatan kerja tetap kita kurang daripada RM10,000, saya nasihatkan jangan berhenti kerja kerana kita belum kukuh lagi. Walaubagaimanapun jika melebihi RM10,000 jangan pula berfikir tidak perlu berhenti kerja.

2. Cemuhan.

Pernahkah kita mendengar cerita tentang Wright Brother? Mereka bercita-cita hendak mencipta sejenis kenderaan yang boleh terbang. Mereka bukan seorang pakar atau saintis tetapi mereka hanya mekanik. Mereka selalu dicemuh oleh masyarakat dan seringkali dikatakan gila dan tidak punya akal waras. Namun akhirnya, tercipta kapal terbang yang dapat membawa kita meluncur di udara. Apakah yang akan berlaku sekiranya mereka mendengar cemuhan masyarakat dahulu? Pasti kejayaan tidak akan menghampiri mereka. Kenapa perlu takut dengan cemuhan?

Begitu juga dengan kita ketika 'sign up", kita dicemuh dengan perkataan yang menyakitkan hati seperti OKB orang kaya baru, jual sabun jadi kaya, jual baju dalam jadi kaya, angan-angan Mat Jenin dan sebagainya. Saya yakin dan percaya anda juga pernah melaluinya. Percaya pada diri sendiri kerana orang yang BERJAYA adalah orang yang tidak pernah putus asa. Renungan untuk mereka yang kental jiwanya......

"Cemuhan lebih hebat ketika kita mengalami kesusahan sewaktu menjalankan perniagaan ini. Apabila kita ambil peduli cemuhan orang lain, kita sudah membenarkan orang lain mencorakkan hala tuju kehidupan kita. Walau bagaimanapun, apabila kita tidak ambil pusing kepada cemuhan orang lain, kita adalah HERO".

3. Kritikan.

Jangan ambil hati apabila kita dikritik. Kita mungkin dikritik upline, downline dan sideline serta sesiapa sahaja. Kritikan diberi kerana mereka melihat kelemahan kita dan kita tidak sedar akan kelemahan ini.

Jadikan kritikan sebagai satu pengecas bagi kita meniti kejayaan yang cemerlang. Contoh tentang seorang yang banyak dikritik ialah Juara Akademi Fantasia Musim Ke-3 iaitu Mawi. Beliau mula dikritik sejak memasuki Akademi Fantasia hingga menjadi seorang artis. Apa yang berlaku kepada Mawi sekarang? Kejayaan makin mengejar dan terus mengejar. Kenapa pula kita yang takut dengan kritikan?

Ini adalah asam garam yang dihadapi oleh seorang artis dan sebagai usahawan MLM, kita lebih bernasib baik daripada mereka. Kritikan yang kita terima tidak sebanyak yang ditanggung oleh artis. Oleh itu, teruskan usaha kita hingga kita jadi HEBAT dalam perniagaan LUAR BIASA ini.

4. Gurauan.

Ada usahawan MLM pernah diketawakan oleh rakan-rakannya yang berkata "Kalau awak berjaya beli sebuah Mercedes hasil daripada MLM, kami akan jilat tayar kereta awak". Seorang usahawan yang kental jiwanya menganggap gurauan itu sebagai satu cabaran.

Selepas berjaya, beliau pergi menemui rakannya dan tiada seorang pun yang berani hendak menjilat tayar kereta. Cuba kita bayangkan, apabila beliau menganggap gurauan itu sebagai batu penghalang, sudah tentu beliau masih lagi seorang zero.

Tindakannya yang meneruskan perjuangan, kini beliau adalah hero. Setiap usaha kita akan ada gurauan yang tidak sedap didengar. Saya yakin dan sangat percaya bahawa pejuang-pejuang Akademi Taipan pasti pernah menerima gurauan hebat ini. Hasilnya adalah lahirlah usahawan yang bergemerlapan hari ini.

5. Pendapat.

Tidak kurang juga ada yang memberikan kita pelbagai pendapat yang negatif. Lebih-lebih lagi pendapat mengenai MLM dan personaliti kita. Ingat, apabila kita terlalu banyak mendengar pendapat orang lain, kita akan kurang pendapatan.

Asingkan setiap pendapat yang kita terima. Adakah pendapat itu membina atau pendapat yang akan menghancurkan kita. Jika baik, terima dan jadikannya sebagai azimat kejayaan. Jika tidak baik, lupakan sahaja dan jangan ambil pusing dengan pendapat itu. Kita masih ada akal bagi mempertimbangkan pendapat itu. Selagi bernama manusia, setiap pendapat boleh disangkal dan boleh dipertikaikan.

6. Pengetahuan.

Kekurangan ilmu pengetahuan dan maklumat tentang MLM juga adalah salah satu daripada halangan. Kita juga mendengar setiap kata-kata daripada orang lain yang belum tentu ada pengetahuan tentang MLM. Ada yang tidak pernah menceburkan diri dalam MLM tetapi menceritakan tentang MLM seolah-olah terlalu jaguh dalam MLM.

Sekarang ini, ledakan teknologi maklumat semakin pesat. Kita boleh dapatkan banyak informasi yang berguna melalui internet. Tidak kurang juga dengan adanya buku-buku penulisan tentang MLM yang boleh dibeli. Semua ini dapat memberikan kita pengetahuan dan ilmu yang lengkap tentang MLM.

7. Persaingan.

Halangan terakhir adalah daripada saingan antara MLM. Di Malaysia terdapat lebih 400 buah syarikat MLM yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Persaingan juga berlaku dengan syarikat yang mengamalkan skim cepat kaya dan sistem piramid.

Kebanyakan masyarakat kita suka melakukan perniagaan tanpa perlu bersusah payah. Mereka tidak perlu taja, beli berkali-kali dan sebagainya. Setakat ini, syarikat yang bertahan terdiri daripada syarikat yang menawarkan perniagaan MLM yang kita sendiri harus BERUSAHA. Manakala syarikat yang menawarkan ganjaran tanpa berusaha tidak bertahan lama. Cukup masa, tutup syarikat dan mereka buka syarikat baru dengan nama yang baru. Oleh yang demikian, perlu beringat dan berhati-hati selalu.

No comments:

Post a Comment